Bagaimana dengan penyertaan ibadah korban teman-teman pada tahun ini? Pastinya sekarang adalah waktu genting untuk mendaftarkan diri dengan mana-mana agensi terutamanya yang memilih untuk terlibat dengan misi korban dan agihan daging di luar negara.

Meskipun kita tidak dibenarkan ke luar negara, wakil PASRelief sedia membantu di sana. Teman-teman boleh memilih mana-mana pakej sumbangan yang ditawarkan. Jangan ketinggalan untuk bersama-sama PASRelief pada tahun ini menerusi misi korban dan akikah di Arakan Myanmar serta Mindanao Filipina.

Selain memberi kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan, ibadat korban sebenarnya adalah manifestasi kepatuhan hamba kepada perintah Allah SWT kerana bukan semua bersedia untuk memberi atau berkongsi apa yang dimilikinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanku ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah diri kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang tunduk patuh (kepada Allah).” (Surah al-Hajj, ayat 34)

Semoga ibadat korban dapat dihayati dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Masih tidak terlambat untuk saudara dan saudari bersama PASRelief. Sumbangan boleh disalurkan menerusi Tabung Kemanusiaan PASRelief (Maybank – 564070614481).

Bagaimana dengan penyertaan ibadah korban teman-teman pada tahun ini? Pastinya sekarang adalah waktu genting untuk…

Posted by PASRelief on Isnin, 15 Jun 2020

 

Kenyataan Media Khas
Delegasi PAS
Misi Food Flotilla For Rohingya Myanmar (FFFM) 18 Februari 2017

1. PAS bersetuju bahawa FFFM telah mencapai matlamat utamanya iaitu membuka mata masyarakat dunia terhadap penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya di tanah air mereka sendiri dan di kem-kem pelarian di negara asing, seperti di Bangladesh dan di wilayah-wilayah dalam Rakhine State sendiri seperti di Sittwe dan kawasan-kawasan lain.
2. PAS menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera tampil mencari penyelesaian untuk menyelamatkan satu krisis kemanusian yang kritikal di Myanmar. Negara-negara serantau yang turut terheret menerima kebanjiran pelarian dan negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Myanmar perlu memberi tekanan kepada Myanmar supaya mereka segera menghentikan kekejaman yang dikenakan kepada etnik Rohingya.
3. Negara-negara di dunia termasuk Malaysia yang memiliki kepentingan pelaburan di Myanmar patut mempertimbangkan penglibatan mereka di Myanmar sehingga operasi penghapusan etnik yang sedang dikenakan kepada Rohingya dihentikan.
4. OIC tidak boleh terus beretorik dengan penganjuran persidangan demi persidangan, perbincangan demi perbincangan tanpa sebarang tindakan. Rohingya adalah sebahagian umat Islam yang sedang dizalimi, seolah-olah sebuah negara ‘haram Israel’ yang baru sedang dibina di atas tanah orang ‘Palestin’ Rohingya yang dibunuh dan dihalau. Berdasarkan sejarah, Rohingya adalah penduduk asal Arakan yang memiliki kerajaan dan kedaulatan mereka sendiri sebelum dijajah pada 1784 oleh Burma dan kemudiannya Inggeris. Kesilapan lampau oleh Inggeris dan Myanmar (Burma) dalam sejarah kemerdekaan Arakan yang dimasukkan ke dalam Myanmar perlu diperbetulkan. Hal ini boleh diusahakan oleh OIC.
5. Pengalaman kami bersama FFFM memberikan isyarat bahawa Malaysia seolah-olah telah kehilangan ‘taring’ diplomatik apabila FFFM yang diuruskan dengan penglibatan pihak kedutaan Malaysia tidak dibenarkan sama sekali memasuki kota utama Rakhine State (Arakan), Sittwe, yang didiami oleh ratusan ribu Rohingya di kem-kem pelarian. Demikian juga sukarelawan dan sebahagian petugas media gagal memasuki Teknaf, Leda, Kutupalong dan Cox’s Bazaar di Bangladesh, lokasi utama kem-kem pelarian Rohingya.
6. Walaupun sebagai anggota Asean dan memiliki kepentingan dalam hubungan diplomatik, pelaburan dan perdagangan, Myanmar tidak membuka pintu sebenar yang kita ingin masuki dalam isu Rohingya. Demikian juga Bangladesh yang mempunyai hubungan dalam OIC, tetap mengelak untuk menunjukkan rupa sebenar layanan mereka kepada Rohingya di kem-kem pelarian. Walaubagaimanapun, penerimaan dua negara tersebut kepada kapal FFFM berlabuh di Yangoon (Myanmar) dan Chittagong (Bangladesh) adalah satu pencapaian yang baik kepada FFFM.

7. Kami ingin mencadangkan agar pihak Kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di dua negara terbabit sentiasa peka dan mengambil berat terhadap perkembangan semasa Muslim Rohingya agar memudahkan rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada mereka pada setiap masa. Kerjasama agensi Malaysia di sana am.at mustahak untuk pihak NGO dan rakyat Malaysia melaksanakan tanggungjawab agama dan kemanusiaan terhadap mangsa kezaliman dan penindasan.
8. PAS akan meneruskan misi membantu Muslim Rohingya di kem-kem pelarian dan penempatan sementara di Rakhine State (Arakan) dan Bangladesh melalui penghantaran bantuan kemanusiaan dari masa ke semasa. Kami memutuskan akan kembali semula ke lokasi tersebut seberapa segera untuk melakukan aktiviti agihan makanan asas, peralatan khemah kediaman, membina telaga tiub untuk bekalan air, membina bangunan sekolah untuk kanak-kanak dan projek bekalan tenaga elektrik mengguna panel solar.
9. Kami menyeru rakyat Malaysia yang prihatin untuk terus menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PAS (Maybank: 5640 7061 1352) untuk menjayakan program bantuan kemanusiaan kepada muslim Rohingya.
10. Kami mendoakan kapal MV Nautical Aliya dan sukarelawan FFFM yang dipimpin oleh Presiden MAPIM Hj Mohd Azmi Abdul Hamid, yang masih dalam pelayaran pulang selamat tiba ke tanahair dan dijangka pada 22 Febuari nanti. Cetusan idea flotilla daripada beliau sejak 2012 telah mendorong usaha gigih melaksanakan misi besar ini.
11. PAS merakamkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan MAPIM yang terbabit dan terus membantu muslim Rohingya melalui misi FFFM kali ini, termasuk usaha-usaha sebelum ini dan rancangan akan datang.

“Hentikan Operasi Penghapusan Etnik Rohingya”

“Inilah Penyelesaian Kita”
Sekian.

Muhammad Sanusi Md Nor
(AJK PAS Pusat -Ketua Delegasi)
Nuridah Mohd Salleh
(Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia)
Muhammad Khalil Abdul Hadi
(Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia)
Dato’ Siti Ashah Ghazali
(Exco Dewan Muslimat PAS Malaysia -Advance Team FFFM)
Ahmad Marzuk Shaary
(Ahli Parlimen Malaysia -Advance Team FFFM)