PASRELIEF KECAM TINDAKAN ISRAEL MELANGGAR PERJANJIAN GENCATAN SENJATA
[ KENYATAAN MEDIA ]
PASRELIEF KECAM TINDAKAN ISRAEL MELANGGAR PERJANJIAN GENCATAN SENJATA
1. Pada 27 November 2024, Tentera Israel dan Hizbullah mencapai kata sepakat untuk mengakhiri peperangan yang berlanjutan sejak 8 Oktober 2023. Perjanjian gencatan senjata ini menetapkan beberapa syarat utama, termasuk:
- Hizbullah diberi masa 60 hari untuk menamatkan kehadiran bersenjatanya di selatan Lubnan.
- Tentera Israel mesti berundur dari kawasan itu dalam tempoh yang sama.
- Tentera Lubnan akan mengawal kawasan tersebut dan menjadi satu-satunya kumpulan bersenjata yang dibenarkan, bersama misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
- Perjanjian ini berbentuk kekal dengan jaminan daripada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, yang membantu menyelaras perjanjian tersebut.
- Kedua-dua pihak, Israel dan Hizbullah, masih diberikan “hak untuk mempertahankan diri.”
2. Namun begitu, laporan terkini daripada Agensi Anadolu (AA), memetik Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA), menunjukkan bahawa Tentera Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata sebanyak enam kali pada hari ke-23. Serangan ini termasuk:
- Merobohkan rumah di bandar Kafr Kila, menyebabkan gegaran dirasai di kawasan sekitarnya.
- Menyerang rumah di kawasan Tayr Harfa.
- Menggunakan jentolak tentera untuk merobohkan kediaman di bandar Naquora.
3. Sejak gencatan senjata diumumkan, pelanggaran oleh Israel telah meningkat kepada 259 insiden, mengakibatkan 31 orang terbunuh dan 37 cedera. Data dari Kementerian Kesihatan Lubnan turut menunjukkan bahawa sejak serangan Israel bermula pada 8 Oktober 2023, lebih daripada 4,061 orang telah terkorban, termasuk 1,106 wanita dan kanak-kanak serta 222 pekerja kesihatan, manakala 16,661 lagi cedera.
4. PASRelief dengan kerjasama rakan NGO tempatan yang merupakan rakan strategik PASRelief telah pun berjaya menghantar bantuan kecemasan awal ke Lubnan pada September 2024. Alhamdulillah, sebanyak USD 10,000 telah disumbangkan bagi membantu rakyat Lubnan yang memerlukan bantuan termasuk perubatan, makanan, air, dan keperluan asas.
5. PASRelief mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang melanggar perjanjian gencatan senjata dan terus bertindak zalim terhadap rakyat Lubnan. Kami menyeru masyarakat antarabangsa terutamanya negara-negara yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kekejaman ini.
YB Ustaz Mohd Yusni Bin Mat Piah
Pengarah PASRelief