Misi Flotilla ke Myanmar

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat 14 Januari 2017 bersetuju untuk menghantar delegasi mewakili PAS bagi menyertai Food Flotilla For Myanmar (FFFM) yang dijadual bertolak ke Myanmar pada 3 Februari 2017.
Program anjuran bersama MAPIM dan NGO-NGO tempatan dan antarabangsa itu dijangka tiba di Myanmar pada 9 Februari selepas pelayaran selama 6 hari. PAS akan bersama MAPIM, Yayasan Amal Malaysia, Kelab Putra !Malaysia dan semua NGO tempatan dan antarabangsa untuk menjayakan misi bersejarah itu.
Mesyuarat ini juga bersetuju telah melantik Haji Muhammad Sanusi Md Nor (AJK PAS Pusat) bagi mengetuai delegasi daripada PAS dalam misi tersebut, dan turut dianggotai oleh Ustazah Nuridah Mohd Salleh (Ketua DMPM), Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (Timbalan Ketua DPPM) dan Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali (Exco DMPM) dan beberapa pimpinan PAS.
Mengapa PAS sertai FFFM?
Firman Allah swt bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”. (Al-Maidah: 2)

Ada pihak menyoal langkah PAS menyertai FFFM, sedangkan mereka tidak pula mahu menyoal pihak yang tidak menyertainya, malah ada pihak yang tak pernah peduli pun berkaitan muslim rohingya dan derita mereka.
Food Flotilla itu bukanlah tentang siapa yang mengertainya, tetapi mengenai Muslim Rohingya yang sedang dibunuh, disiksa, diusir, dibakar rumah-rumah kediaman dan masjid-masjid mereka. Daripada populasi berjumlah empat juta jiwa di Arakan (Rakhine State), kini hanya tinggal tidak lebih daripada 700 ribu yang masih hidup di wilayah itu, selebihnya menjadi pelarian di serata dunia, ramai juga yang hilang dan berkubur di lautan.
Food Flotilla bagi PAS bukanlah sekadar perihal ribuan tan makanan yang dibawa untuk diserahkan kepada mereka sebagai penyambung nyawa, tetapi bermatlamat membuka mata masyarakat dunia terhadap kesengsaraan Muslim Rohingya yang sedang dibantai gerakan Ashin Wirathu yang mengepalai gerakan 969, pelampau Rakhine dan regim Myanmar.
Malah, Food Flotilla bertujuan membuka mata masyarakat dunia terhadap sejarah kerajaan Islam yang berdaulat di Arakan sejak kurun ke-8, penjajahan Inggeris dan Jepun, diikuti empat isu besar berkait etnik Rohingya yang dilucutkan kerakyatan melalui U ndang-undang (Akta) Kewarganegaraan 1982. Sejak merdeka daripada penjajahan Inggeris pada 1948, nasib Muslim Rohingya telah terumbang-ambing.

Peserta daripada PAS:

1. Muhammad Sanusi Md Nor- Ketua Delegasi
2. Ustazah Nuridah Mohd Salleh
3. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
4. Izwan Abdul Halim
5. YB Dato’ Siti Ashah Ghazali
6. Sazali Su din
7. Syarifah Rashida Syed Idrus
8. Sha bu din Md Nor
9. Amani Ramli