PASRELIEF MENGECAM KERAS SERANGAN ISRAEL YANG MENGORBANKAN SUKARELAWAN MAPIM DI GAZA
[ KENYATAAN MEDIA ]
PASRELIEF MENGECAM KERAS SERANGAN ISRAEL YANG MENGORBANKAN SUKARELAWAN MAPIM DI GAZA
- PASRelief menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS Pusat dalam mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu rejim Zionis Israel ke atas Gaza, yang telah mengorbankan lapan sukarelawan kemanusiaan dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada Sabtu lepas.
- Serangan ini adalah satu tindakan biadab yang melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Membunuh sukarelawan yang sedang menjalankan misi kemanusiaan bukan sahaja satu kezaliman yang tidak boleh diterima, malah mencerminkan kerakusan rejim Zionis Israel dalam menindas rakyat Palestin serta mereka yang berusaha membantu.
- PASRelief menegaskan bahawa tindakan kejam ini perlu mendapat kecaman keras daripada seluruh masyarakat antarabangsa. Kejadian ini bukan sekadar serangan terhadap individu, tetapi satu tamparan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
- PASRelief menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak terus berdiam diri. Keganasan yang dilakukan oleh Israel mesti dihentikan melalui tekanan politik, tindakan diplomatik yang lebih tegas, serta langkah perundangan di peringkat antarabangsa.
- Kami mendoakan agar roh para syuhada sukarelawan MAPIM ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Semoga keluarga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
- Dalam masa yang sama, PASRelief akan terus komited dalam membantu rakyat Palestin yang teraniaya. Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdiri bersama Palestin dengan menyalurkan bantuan serta menguatkan doa agar saudara kita di sana diberi perlindungan dan kemenangan.
YB Ustaz Mohd Yusni Bin Mat Piah
Pengarah PASRelief





