Segera Sekat Kerakusan Myanmar Zalimi Etnik Minoriti Rohingya

KENYATAAN MEDIA
PARTI ISLAM SE-MALAYSIA
23 Safar 1438H I 23 November 2016
“Segera Sekat Kerakusan Myanmar Zalimi Etnik Minoriti Rohingya”

1. Myanmar yang baharu hidup untuk menegakkan pemerintahan negara sedang mendirikannya dengan menggadai nyawa dan darah manusia tanpa hak. Tindakan membunuh, menyiksa jasad, mencabul maruah, mengusir dari kediaman dan enggan mengiktiraf kerakyatan penduduk asal, meletakkan pemerintahan Myanmar di luar batas ketamadunan.
2. Kelakuan jenayah, zalim, purba dan melampaui perikemanusiaan dilakukan ke atas etnik minoriti Muslim Rohingya di Arakan serta wilayah diduduki umat Islam di negara itu, tidak mungkin dapat disembunyikan dari pengetahuan dunia yang diliputi kecanggihan teknologi maklumat pantas lagi terkini.
3. Tanpa campur tangan badan dunia dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Asean dan lainnya, tidak mustahil Myanmar akan mengukir tragedi berdarah seperti pernah berlaku di Bosnia-Hazegorvina. Bahkan, mungkin lebih buruk jika tidak ditangani penyelesaian segera.
4. Junta tentera Myanmar mesti menyedari, disebalik kuasa senjata dan keganasan dilakukan, negara mereka sedang berjiran dengan negara-negara Asia Tenggara yang dihuni lebih 300 juta umat Islam, tidak termasuk 100 juta di benua India. Solidariti umat Islam sedang memandang serius operasi penghapusan etnik ini dan kesabaran itu ada batasnya, jangan hingga ianya tercabar.
5. PAS menggesa PBB, OIC, Asean dan semua pihak untuk mengambil langkah segera yang adil dan menyelamatkan kemanusiaan dan tamadun ini sendiri agar tidak meletus keadaan lebih parah hingga sukar dibendung. PAS juga menyeru seluruh umat Islam menggandakan munajat dan mengajak seluruh warga dunia mengutuk tindakan jahiliyah Myanmar.

“Inilah Penyelesaian Kita”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS